Khamis, 4 Jun 2009

SATU

Karya: Ziaf Fansuri

“ARRGGHHHH…TOLONGGG!!!”. Jeritan itu benar-benar membuatkan aku tidak tentu arah. Mukaku pucat, peluh dingin meluncur laju membasahi dahiku yang agak luas itu, langkahku terpaku.

“Gatal!!!..Miang!!!..Jantan hidung belang!!!”, tuduhan-tuduhan begitu jelas dapat ditangkap oleh telingaku. Debuk!!!. Satu hentakan kuat dapat kurasakan tepat di bawah daguku seraya membuatkanku terduduk. Mataku agak berpinar dan aku seakan merasakan dunia ini berputar. Seketika aku bagai terputus hubungan dengan alam sekitar.

“Kenapa ni cik? Ada apa-apa masalah ke?” satu suara yang agak garau berjaya membuatkanku sadar kembali.

“Ni hah pakcik. Jantan miang ni saya jumpa dalam tandas wanita tadi. Dasar lelaki miang, siang hari pun tak tahu malu!!! Hee..geramnya aku!!!” bagaikan halilintar menyambar, suara itu menerjah ke koklea ku.

“Err…minta maaf cik. Saya tak berniat pun walau seberat zarah untuk berbuat apa-apa pada diri cik. Saya Cuma berniat nak qadha hajat sahaja, tapi tak pula saya sangka yang ni tandas wanita” aku bersuara pula seraya mengambil semula fail-failku yang bertaburan di atas lantai.

“Huh!!..Penipu!!” cebik gadis itu sambil menjuihkan mulutnya. Dapat jua ku lihat sorotan matanya yang seakan-akan tidak mempercayai pernyataan ku tadi.

“Betui ka encik? Saya bukanlah tak nak percaya tapi…..” pak guard yang dari tadi kulihat menumpukan perhatian kepada gadis di depanku tiba-tiba berkata kepadaku.

“Betul pakcik. Demi Allah apa yang saya katakan tadi adalah benar dan sebenar-benarnya. Lagipun buat apa saya sengaja nak ‘membunuh diri’ dengan melakukan perbuatan yang dikatakan gadis ni sebentar tadi.

“Betui juga noo. Awat hang nak dok sekodeng orang tengah-tengah hari buta ni. Lagipun ni tempat public. Takpa-takpa. Pakcik ingat ni kes salah faham ja ni. Hangpa dok settle baik-baik noo. Pakcik balik tempat pakcik dulu ya nak.” Seusai bertutur pakcik tersebut melangkah meninggalkan kami berdua.

Gadis tersebut terus meninggalkan aku yang baru sahaja hendak mengulangi permohonan maaf. Aduh, tak dapat aku bayangkan betapa malunya aku sekarang ni. Sudahlah hari ni hari pertama pendaftaran di universiti, ramai pula tu freshie-freshie macam aku ni yang ada berhampiran dengan tempat kejadian. Mana aku nak letak muka aku ni nanti. Arghh…tak guna kau Zarul, kau kenakan aku hari ni ye. Takpe, ada ubi ada batas, tunggu kau Zarul. Aku mula mengatur langkah kembali ke tempat duduk aku. Terbantut niat aku nak melepaskan hajatku yang ku pendam sekian lama. Hai….nasib kaulah Rafik.

*********************


Pagi ini adalah kelas pertamaku di Universiti Kebangsaan Malaysia ni. Malangnya aku bangun agak lewat pagi ni. Tergocoh-gocoh aku bersiap. Kelasku berada di Fakulti Kejuruteraan manakala aku ditempatkan di Kolej Kediaman Ungku Hussein. Jarak antara keduanya bolehlah dikatakan jauh. Kolej aku berada di atas bukit, berhampiran dengan pintu gerbang utama di UKM ini manakala fakultiku tersergam indah di tepi tasik, berhampiran pintu masuk kedua UKM, nun di hujung sana.

Aku bernasib baik Zarul dengan bermurah hati meminjamkan motosikalnya. Kebiasaanya budak-budak junior macam aku ni kata Zarul selalu naik bas shuttle yang disediakan oleh pihak universiti. Bas cap Kiffah, begitulah kata Zarul semasa kami bersembang malam tadi. Zarul sekarang sedang menyiapkan tesis tahun akhirmya dan jadual waktu kelasnya tidaklah sepadat jadual pelajar tahun satu macam aku ni. Walaupun perangai Zarul ni tak berapa semenggah, tapi aku tahu beliau ni seorang yang budiman dan baik hati. Kah kah kah, mana tak nya, dah 8 tahun aku kenal mamat nama Zarul ni. Jiran sekampunglah katakan.

Selesai meletak dan mengunci motor, aku berlari sederas yang mungkin menuju ke dewan kuliah. Jarum minit jam tanganku sudah 5 minit melewati angka 12. Aku hanya mampu berdoa agar pensyarah subjek Statik ini belum tiba di dewan lagi. Seboleh-bolehnya aku tak mahu memberikan pandangan yang buruk di awal pertemuan dengan para pensyarah. Maklumlah, kita ni nak mendapatkan ilmu daripada mereka, kalau dah hati mereka tak berapa berkenan pada sikap dan personaliti kita, sedikit sebanyak barakah ilmu yang dicurahkan nanti akan ada kekurangannya. Ustaz aku dulu pernah berkata, jagalah hati gurumu dengan sebaik mungkin kerana barakah ilmu itu terletak di atas keikhlasan dan keredhaan gurumu. Dah kalau guru benci dan meluat tengok kita macamana dia nak redha dengan kita. Nauzubillah min zalik, minta dijauhkan.

Aku menolak daun pintu. Perasaan lega seraya menerpa ke hatiku, memberikan suatu seakan ketenangan. Pensyarah masih belum nampak kelibatnya. Aku menuruni anak tangga menuju ke bawah. Memang tabiatku untuk duduk di hadapan dalam majlis ilmu. Kenapa? Supaya aku akan dapat menumpukan sepenuh perhatian. Pernah sekali aku terlewat masuk ke kuliah sewaktu di matrikulasi dahulu, akibatnya aku terpaksa duduk di barisan yang agak terbelakang. Tempat kebiasaanku telahpun berpenghuni. Sepanjang 3 jam kuliah tersebut aku tidak dapat memahami waimah sepatah rumus yang disampaikan oleh pensyarahku. Aku mengambil iktibar daripada peristiwa itu dan sentiasa memastikan aku duduk di hadapan selepas itu.

Aku melabuhkan punggung di sebelah gadis Tionghua iras-iras aktress dari Hong Kong, Mei Lin namanya, satu kumpulan denganku semasa program orientasi tempoh hari. Aku duduk di bahagian tepi sekali dalam barisan, di sebelah kananku sedikit ruang seperti lorong untuk memudahkan perjalanan pelajar-pelajar. Selang beberapa kaki terdapat satu lagi barisan yang boleh diduduki untuk mendengar kuliah. Aku tidak berapa endah dengan penghuni di sebelah kananku, seorang gadis melayu pada perkiraanku, bertudung dengan gaya entah apa-apa entah, berbaju belang-belang dan berjeans ketat, itulah yang sempat tertancap dalam mindaku semasa melilau melihat sekeling mencari tempat duduk sebentar tadi. Aku mengeluarkan buku catatan, untuk kugunakan mencatat isi kuliah sebentar nanti. Menyusun beberapa alatulis. Ah, baru kusedar telefonku masih belum ku letak pada mode silent. Suasana yang agak bising sekarang ni mungkin tak akan berapa terganggu seandainya telefonku berdering tetapi bayangkan seandainya semasa proses pembelajaran dan pengajaran sedang dijalankan dan telefonku berdering memecahkan kesunyian suasana itu nanti, tentu ramai yang akan menyumpah seranah walaupun hanya di dalam hati. Aku pun menyeluk saku sisi jeansku.

“HOI!!!! KAU BUAT APA DI SINI???” aku terkesima buat kesekian kalinya, suasana serta merta menjadi sepi, bagaikan sebuah perkampungan, yang baru sahaja dilanggar geruda dan aku dapat merasakan seperti hanya aku sahaja subjek yang berada di dalam dewan itu kerana semua mata memang memandang ke arahku. Ternyata, jeritan itu sekali lagi menghantuiku. Ya Allah, mengapa kau dugaku lagi di hari pertamaku?. Gadis berbaju belang itu berang lagi.

********************


“Ni ape kehainya ni dok monyok macam cicak tertelan kapuq barus ni?” usikan Musleh jelas dapat kudengar. Aku kembali menghirup bancuhan Nescafe 3 dalam 1 yang baru aku beli petang tadi dari Pusanika yang berhampiran. Memang telah menjadi tabiatku, apabila menelaah pasti ditemani secawan kopi. Tanpa kopi, kurasakan segalanya tak menjadi. Tiada satu pun rumus dapat ku ingati.

“Aku hairan betullah. Dah 3 tahun peristiwa tu berlalu, tapi kenapa si Raedah tu macam benci sangat kat aku? Dah banyak kali juga aku cuba untuk berbaik-baik, menjalinkan silaturahim tapi dia tetap dengan api kemarahan dan kebencian terhadap aku.” Aku meluahkan apa yang bermain di benakku kepada Musleh.

“Laaaa….sebab dia ka hang dok lagu ni. Ala…toksahlah hang dok pening pala hang pikiaqkan dia tu. Dah perangai dia macam tu nak buat macamana. Lagipun bukan ada pekdah apa pun kat hang. Budak pempuan lain pun ade habaq kat aku, si Raedah ni ada sikit dia punya ‘act’. Maklumlah anak Dato’, lawa macam Nicole Kidman pula tu…” balas Musleh sambil menghembuskan asap rokok cap Winston Light itu.

“Aku bukannya apa, aku kalau boleh tak naklah ada dendam-dendam sesame kita. Maklumlah, kita ni menuntut ilmu, tempat yang sama pula tu. Jadi kalau ada dendam-dendam ni aku tak rasa berapa seronoklah.”

“Alaa..lantak pi lah dengan minah tu.. Apa kata hang ajaq aku camana nak rujuk rajah Reynold ni. Aku dok pening dari semalam lepas kelas Mr. Tee. La ni nak siapkan tutoq aku pun tak dapat” kata Musleh sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Ha ha ha..betul juga cakap kau tu. Mari sini Dewa fluid nak tunjuk kuasa” gurauku kepada Musleh sambil diiringi gelak tawa kami bedua.

**********************************

“Majid, kerja kursus ni berapa markah?” aku bertanya kawanku yang duduk di sebelahku.

“Kalau tak silap aku banyak markah dia ni. 70% kalau aku tak silap. Kertas periksa akhir si Hambali ni set 30% je” balas Majid

“Alamak…bahaya ni. Kalau skor final paper pun tak lulus lagi. Oh Hambali, kenapakah…” aku membalas sambil membuat aksi-aksi yang menyebabkan Majid dan yang lain tergelak. Subjek Analisis Rekabentuk ni memang subjek killer untuk pelajar tahun akhir kejuruteraan di UKM ni. Di tambah pula dengan ketegasan pensyarahnya Encik Hambali, membuatkan pelajar-pelajar ini tak tidur malam memikirkannya. Mengikut pengalaman senior terdahulu, amat susah untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek ni kerana pemarkahan Encik Hambali ini begitu ketat.

Diam tak diam aku sudah pun berada dalam semester terakhir pengajianku. Namun hubunganku dengan Raedah sama seperti 4 tahun yang lepas. Aku pun sudah tidak berapa endahkan lagi. Tumpuanku kini hanya untuk menyiapkan ijazah ku dengan cemerlang dan tepat pada masanya.

Selesai kuliah Encik Hambali hari tu, aku dan beberapa kawanku bercadang hendak singgah makan di Kafe Pusanika. Sementelah lokasinya yang sehala dengan jalan pulang ke kolej kami. Tambaham aku pun hendak mengeluarkan sedikit wang daripada Mesin ATM di Bank CIMB yang ada di Pusanika tu. Hari ini kami berempat pergi ke kuliah dengan kereta si Azmil. Hujan yang sedari pagi turun membasahi laman ilmu ini masih terasa rintiknya. Seusai meletak kereta, Azmil, Majid dan Musleh terus menuju ke kafe manakala aku mengambil keputusan untuk ke bank dahulu.

Setibanya di bank, suasana tidaklah sesibuk mana. Terdapat beberapa orang siswi sedang beratur menunggu giliran di mesin ATM. Suasana di dalam pun aku lihat agak tenang. Hanya sebuah kaunter di buka untuk para pelanggan berurusan. Di ruang menunggu pula, aku dapat lihat seorang pensyarah barangkali, bersongkok tinggi, berkemeja cerah dan berseluar khakis sedang menyemak-nyemak helaian kertas di tangannya. Ah, barangkali beliau mahu claim apa-apa cek atau elaun yang baru diterimanya. Di hujung sana jelas dapat kulihat sepasang merpati dua sejoli, berbaju sedondon, yang pria memakai t-shirt berwarna merah jambu berseluar jeans manakala si jelita pula mengenakan tudung ala-ala penyanyi Yuna yang sedang hangat namanya, berbaju t-shirt lengan panjang juga sedondon warnanya dengan si pria. Fikiran-fikiran nakal seakan menerjah ke serebrum ku setelah Diensefalon thalamus memproses data yang ku dapat daripada pemerhatianku terhadap pemakaian si pria merpati sejoli itu tadi. Seorang lelaki yang berkulit agak gelap mengenakan busana berwarna sedemikian. Tidakkah dia terasa kejanggalannya apatah lagi dia bisa sahaja menjadi subjek tumpuan tatkala di khalayak. Apakah kerana sayang, ataupun kemungkinan adanya sikap Queen control daripada si dara, tiada kesimpulan yang dapat ku temui tatkala di ruang waktu yang sekelumit cuma ini. Tersenyum sendirian aku di buatnya.

Kad ATM yang menjadi teman setiaku sejak dari tahun satu ku sua pada slotnya. Seketika, kad tersebut di sedut ke dalam mesin. Beberapa saat berlalu tatkala aturcara program mesin sedang mengenal pasti data-data yang tertanam di dalam cip kad. Setelah melalui beberapa proses akhirnya mesin ATM itu memuntahkan wang yang ku idamkan. Alhamdulillah. Syukur kepada tuhan.

Sewaktu aku hendak melintasi pintu utama, tanpa ku sedar bahuku berlaga dengan seseorang. Serentak aku menoleh kea rah insan yang ku langgar sebentar tadi sambil bibirku terbuka tanda bersedia melontarkan permohonan maaf

“Err…maafkan saya saudari..saya tak…”
“Buta ke? Lain kali jalan pandang depan bukan pandang wallet!!”
“Eh Raedah rupanya, maafkan Fik, Fik memang tak sengaja tadi” tanpa kuduga Raedah rupanya di hadapanku
“Ah sudahlah, pergilah kau. Malas aku nak layan kau lagi”seperti biasa layanan yang kuterima kasar seperti hari-hari lalu. Raedah terus menuju ke ATM dan meninggalkan ku termangu-mangu di depan pintu. Entah kenapa hari ini kejantanan aku seakan tercabar. Kemarahanku tiba-tiba menerjah ke mindaku mengatasi rasional pemikiranku. Seakan ada Ablasa yang sedang merasuk-rasuk, meniupkan lagi perasaan amarah ke dalam hatiku. Aku segera menyusun langkah menuju ke arah Raedah dan…..

“Hei Raedah!!! Kenapa kau benci sangat dengan aku ha? Kenapa??!! Dah berkali-kali aku cuba berbuat baik terhadap kau namun kau tak pernah walau sekali kau bersikap begitu terhadapku. Kalau setakat kesalahan yang aku lakukan beberapa tahun lalu menyebabkan kau bersikap begini sampai kini, aku tak tahulah insan jenis apa kau ni. Begitu lama berdendam ke atas kesalahan yang ku kira tidak seberapa tu!!. Dah berkali aku terangkan keadaan aku pada masa tu kan??!! Ah sudahlah kau Raedah!!! Kau ni memang jenis manusia yang…yang…” aku mengetap bibirku untuk menahan agar tidak terlepas perkataan yang hendak ku ucapkan tu

“Sudahlah Raedah!!! Sedangkan Nabi pun ampunkan Umatnya!!!!” satu sorotan tajam diikuti aksi menuding telunjuk tepat ke mukanya mengakhiri amukan aku petang itu. Aku lantas berpusing menapak meninggalkan Raedah di situ. Sempat aku lihat air mukanya sebalum aku berpaling tadi yang seakan sangat terkejut, tidak menduga kelancangan aku barangkali. Pantas aku menuju ke hentian bas yang berdekatan dan kupadamkan sahaja niatku untuk mengisi perut. Didih hatiku kian reda, diganti pula dengan penyesalan. Pasti saja Raedah sangat malu tadi. Walaupun khalayak tidak ramai namun pastinya si polan-si polan yang lalu-lalang di situ sebentar tadi dapat menyaksikan adegan spontanku tadi. Ya Allah….



**********************************


“Apa kes bro? Bukan main kuat lagi suara kau petang tadi. Kitorang yang duduk kat hujung kafe tu pun dapat dengar suara kau dengan jelas” tegur Azmil sesudah mereka tiba di bilikku.
“Entahlah. Aku pun tak tau kenapa aku boleh jadi macam tu tadi. Bila fakir-fikir balik macam tak patut pula tindakan aku tadi tu.”
“Ala…oklah tu. Biar padan muka sikit dengan si Raedah tu. Apa dia ingat orang lain ni tak ada standard ke. Huh!!” sampuk Musleh yang seakan menyokong tindakanku tadi.
“Ah sudahlah. Malas aku nak fikir. Esok lusa aku pergi minta maaf dengan si anak Dato’ sorang tu” aku berlagak ceria kembali di hadapan kawan-kawanku walaupun badai yang melanda lubuk hatiku hanyalah Al-Khaliq yang mengetahui-Nya.

“Weh, baik korang siapkan kerja si Hambali tu. Esok last hantar. Kau nak mampus ke hantar lewat-lewat. Silap - silap kang kau kene extend satu sem repeat dia punya subjek saja. Tak ke haru di buatnya tu” seakan pelajar yang mendapat Anugerah Diraja si Musleh petah berkata-kata seraya mengundang tawa lagi di kalangan kami. Walaupun begitu, kami semua setuju dengan kata-katanya dan bergegas menyiapkan projek masing-masing.

**********************************

“Zinnia, projek ni you yang collect ke?” Tanya aku kepada salah seorang rakanku di kelas pagi itu. Rakanku ini memang selalu diamanahkan untuk memungut apa saja tugasan oleh pensyarah kepada pelajar kelas kami semenjak dari tahun satu lagi.

“Owh. This project Mr. Hambali has assigned Raedah to collect it. As a punishment for not coming to his class last week without a strong reason.”Zinnia ni memang suka sangat cakap Inggeris. Maklumlah, dari kecil mengikut ayahnya bertugas di United Kingdom. Ayahnya merupaka salah seorang pegawai bertugas di Kedutaan Malaysia di sana.

“Alrite then. I’ll passed to her later. Thanks Zinn”balasku sambil menuju ke meja Raedah.

“Cik Raedah Dato’ Fauzan, ni saya hantar projek saya ye. Terima kasih daun keladi ye. Saya harap awak jaga projek saya tu elok-elok. Maklumlah, projek ni ibarat tangkai nyawa saya” niatku hanya ingin menerbitkan suasana ceria antara aku dan dia sementelah kejadian semalam masih menghantuiku. Namun reaksi Raedah ternyata lebih teruk kali ini. Tiada sepatah perkataan terbit daripada bibirnya yang mungil dan kemerah-merahan laksana jambu air itu. Dia hanya menyorot dengan mata yang penuh dendam pada perkiraanku sambil menyentap buku projekku dengan kasar daripada huluranku.

“Errr..Raedah. Saya minta maaf banyak-banyak atas peristiwa semalam tu ye” hanya itu yang mampu kututurkan sebelum meninggalkannya.

**********************************


Semusim sudah usia pengajianku kini. Namun lara hatiku ini seakan tidak akan sembuh. Gambar yang di upload oleh Musleh di laman Friendster nya menambahkan lagi sayu hatiku. Sepatutnya aku kini sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan teman-teman seperjuanganku. Tetapi apakan daya, kita hanya mampu merancang tuhan jua yang memutuskan. Tidak ku sangka, gurauan Musleh dahulu menjadi kenyataan buatku, bezanya hasil kedudukanku kini wahana daripada sekelumit dendam seorang insan. Tidak ku duga beliau sanggup mensabotaj aku sebegini rupa. Puas sudah aku menerangkan kedudukanku pada Encik Hambali ketika itu, di tambah pula dengan sokongan beberapa rakanku. Namun si dia lebih hebat lagi lakonannya, segah primadona filem layaknya. Tidak ku sangka si dia sanggup memusnahkan hasil kerjaku yang diamanahkan kepadanya untuk diserahkan kepada pensyarahku. Akibatnya, aku tiada pilihan lain, terpaksa mengulang subjek tersebut. Pabila kutanya pada si dia kenapa dia bertindak begitu, “ What you give you get back. Don’t you ever dare to play with me!!..Huh”

Ya tuhan. Tidak ku sangka perasaan hasad dan dengki bisa menjadikan seseorang itu tidak berfikiran dengan waras. Bara dendam yang sekian lama menyekam akhirnya membara dan marak menyala. Aku tidak lagi menaruh kesumat terhadap si dia. Aku sekadar menganggap ini sebagai kifarah terhadap dosa-dosaku yang lalu. Nasihat dan sokongan teman-teman sememangya penawar terbaik. Kepadanya, kupohon agar Rabbul ‘Izzati membuka hatinya dan menunjukkan jalan kepada kebaikan, agar dia bertemu kelembutan dan kesantunan diiringi ketakwaan di hujung pencarian.

Satu musim telah berlalu. Satu hati telah teruji. Satu janji akan ditepati. Satu harapan dan doa hanya kepada-Nya, yang Satu……………