Selasa, 9 Jun 2009

Permata Yang Hilang

Karya: Ziaf Fansuri


“Assalamualaikum cikgu” Kedengaran suara bergema sayup-sayup dari tingkat atas itu

“Alamak Jon, mati kita. Cikgu Rizana dah masuk.” Aku bersuara kepada Jon yang sedang menyisipkan hujung kemejanya ke dalam seluar.

“Ades. Hari ni dahlah kelas dia dua waktu. Mana kita nak lepak sejam ni? Ke kau nak masuk je kelas dia tu?” balas Jon kepadaku

“Emm…kalau masuk sekarang mesti kena piat telinga kita nanti. Maklumlah, cikgu kita sorang ni memang pantang kalau murid-murid masuk lambat kelas dia”

“Tapi kalau tak masuk lagi bahaya. Mau makan ‘roti panjang’ kita besok” muka Jon kelihatan agak cuak.

“Habis tu macamana? Aku dahlah tak siapkan kira-kira dia lagi. Silap-silap dapat cubitan percuma lagi nanti kat perut macam yang dia selalu buat tu” tuntas aku berkata.

“Itulah kau. Semalam masa prep tak nak siapkan kira-kira dia. Yang kau pergi ikut si Roshan tu kacau junior kenapa? Ambik hobat.” Cebik Jon pula kepadaku.

“Eh kau ni…kau nak perli aku ke nak cari jalan selamatkan kita ni? Sekali aku debik kang!!” tiba-tiba hatiku berasa panas.

“Hehehe..relakslah. Aku gurau je. Aku ingat aku nak masuk jelah kelas dia. Ala, tahanlah sikit kena piat telinga. Kata Kadet Polis.” Jon tersengih-sengih sambil cuba menyembunyikan kecuakannya di sebalik mukanya yang lonjong dan bersih itu.

“Kau nak masuk kelas dia masuklah. Aku nak pontenglah hari ni. Lagipun ibujari kaki aku ni rasa makin membengkak pula. Nilah gara-gara bermain bola tadi tak pakai kasut” luah aku pula.

“Eh, kau nak lepak mana pula ni? Nanti kalau si Rizana tanya kau macamana? Iyelah, dia bukan tak kenal kau. Kau pun dah jadi muka wanted dia. Takkan aku nak cakap kau pengsan lepas kelas Pendidikan Jasmani ni tadi?”Jon seakan tidak setuju dengan tindakanku itu

“Ala, kau tak payah risaukan aku. Taulah aku nak selamatkan diri aku. Takpelah, aku balik asrama dulu. Hasta La Vista Bebeh” langkah mula kuatur meninggalkan Jon yang terkebil-kebil di anak tangga itu.

Aku sedar tindakan aku ini tidak baik untuk diriku. Sudah beberapa kali aku buat kes sebegini terhadap Cikgu Rizana dan sudah beberapa kali jugalah aku merasa ‘roti panjang’ yang menjadi teman setia cikguku yang seorang ini. Aku pun pelik, dalam banyak-banyak kelas, kelas dia nilah yang paling aku tak suka. Walaupun aku sedar akan kepentingan ilmu Matematik Moden di zaman teknologi ini namun aku berasa sangat tidak selesa dengan kelas beliau ni.
Perkenalan aku dengan Cikgu Rizana bukanlah hanya sebentar seperti perkenalan aku dan seorang pakcik di stesen bas Klang minggu lepas. Perkenalan kami ketika itu hanyalah sebagai perkenalan seorang perokok dengan seorang perokok yang lain, kenal untuk meminjam lighter dan kemudian duduk bersama menikmati racun dunia itu untuk barang 10 minit cuma. Tidak. Perkenalan aku dengan Cikgu Rizana berlangsung seawal aku menjejak ke alma matter ku ini.

Beliau telah mengajar aku ilmu kira-kira sejak aku dari tingkatan 1 lagi. Kemudian kami bersama lagi 3 tahun berturut-turut lagi setelah tingkatan 2 Cikgu Samihah yang mengajarku subjek itu. Kecekalan beliau memang tidak dapat aku nafikan, mengajar remaja-remaja yang kadang kala suka membawa kepala. Maklumlah, baru nak naik. Ketegasannya juga terkadang membisa dan meninggalkan kesan yang agak mendalam. Pernah sekali aku dihukum berdiri sepanjang kelas beliau, hanya kerana aku terlelap sekejap cuma. Hal itu seakan mengundang dendam dalam kesumatku kerana nun jauh di hujung belakang kelas sana aku nampak si Zarif begitu enak membuai mimpi, siap terlentuk di atas meja beralaskan lengannya yang memang gebu itu. Mungkin kerana aku duduk di barisan hadapan maka begitu mudah sekali beliau terkesan tingkahku di dalam kelas ini.

Aku mengambil keputusan untuk pulang ke asrama sahaja. Mengatur langkah dengan penuh perhatian, agar kelibatku tidak mudah terkesan oleh Guru Disiplinku yang sedang mengajar di makmal sains, berhampiran pintu pagar masuk ke belalai gajah yang menyusur ke asramaku. Setibanya di kaki tangga menuju ke bilikku, aku melihat pintu gril masih belum berkunci. Nasibku amat baik. Pastinya makcik yang selalu membersihkan bilik air di asrama ini masih belum siap menunaikan tugasnya. Bukannya aku tidak biasa memontengkan diri di asrama, malah dalam seminggu pasti paling kurang sekali aku akan ponteng kelas. Kebiasaannya aku dan teman-teman akan memanjat melalui balkoni belakang asrama. Kemudian menerobos menerusi ruang jejaring tingkap yang memang telah sedia kami cabut beberapa tahun lepas. Namun dengan keadaan kakiku yang membengkak ini pastinya terasa sedikit kesulitan melakukan aktiviti tersebut.

Dalam perjalanan ke bilikku aku terhidu aroma tembakau di sepanjang koridor. Pastinya teman-temanku ada juga yang ponteng ni. Tidaklah aku canggung pabila melihat si Zaim, Karim dan Zainal, teman sebilikku yang memang agak nakal sedang bermalas-malasan di atas katil masing-masing. Dengan hanya berseluar hijau dan bersinglet, masing-masing enak menghisap rokok.
“Apa kena kaki kau tu Jid? Tertingkut-tingkut aku tengok kau jalan tu” Zaim bingkas bangun setelah menyedari aku masuk ke bilik.
“Ala…aku tersepak tiang gol tadi masa main bola.” Aku berbasa-basi sambil tanganku cekatan menyangkut baju sekolahku ke dalam gobokku.
“Eh, aku gi lepak kat dorm Zarkawi atas ye. Hari ni aku taknak masuk kelas langsung. Nak tidur je. Sakit betul kaki aku ni aku rasa.” Aku menghabiskan kata-kataku sambil kakiku menyauk selipar jepun. Sebagai langkah keselamatan, aku mengambil keputusan untuk tidur di dorm Zarkawi. Dorm ini dikhususkan untuk pengawas-pengawas dan sentiasa berkunci sepanjang sesi persekolahan. Salah seorang ahli dorm ini ialah Arif, sahabat rapatku. Dia telah membenarkan aku untuk membuat salinan kunci biliknya. Sebagai menghargai kejujuran dan kesetiakawanan, aku hanya akan ponteng di dorm tersebut apabila keadaan tidak begitu memihak kepadaku. Keadaan kakiku kali ini menuntut aku mendapatkan rehat yang secukupnya dan aku membuat keputusan untuk berbaring di sana sahaja. Sementelah kalau ada rush oleh para warden pasti aku tak sempat untuk berlari menyelamatkan diri. Kalau aku berada di dorm Zarkawi aku tidak perlu risau, pasti para warden tidak akan masuk ke dalam dorm ini. Maklumlah, dorm ni kan dikhususkan untuk para pengawas sekolah dan mereka ini semua terdiri daripada para pendukung dan pelaksana peraturan yang telah digubal.

Hari itu berlalu, tepat tanpa sedikit culas pun mengikut waktu, yang telah di atur oleh Penentu-Nya……

***********************

“Abdul Majid bin Ahmad Marbawi. Apa pula alasan kamu kali ini?” jelas dapat kurasa seakan kemarahan dan sedikit kekecewaan terbutir daripada nada suara itu.

Aku masih membatu di hadapan beliau. Mataku tertancap ke lantai bilik guru. Kepalaku masih tertunduk sambil tanganku kejab kugenggam di belakang badanku. Situasi ini bukanlah suatu yang canggung bagiku. Sudah beberapa kali aku di sini, ‘menghadap’ guruku yang seorang ini apabila berlaku sesuatu masalah di kelas beliau.

“Majid…pukul sudah, denda sudah, marah sudah, nasihat apatah lagi. Apa sebenarnya masalah kamu ini? Kadang-kala saya berasa pusing, mengenangkan kerenah kamu yang tak pernah sudah.” Nada Cikgu Rizana kedengaran sedikit kendur kali ini.

Diam. Itu sahaja reaksiku. Tegak keras badanku berdiri. Bagai patung mannequin layaknya.

“Majid?” Cikgu Rizana mengulang namaku, nama anak muridnya yang paling banyak menitir di bibirnya barangkali.

“Saya tak minat dengan Matematik cikgu” aku mengalah akhirnya, memecahkan kesunyian yang kucipta sedari aku berdiri berdiri di depannya. Serentak keluhan dapat ku dengar terbit daripada guruku itu.

“Majid, saya tahu cita-cita awak hendak menjadi ahli ugama yang tersohor kelak. Saya tahu awak memang hebat dalam bab-bab hukum hakam Islam, tafsiran hadis, istinbat hukum, hafazan ayat Al-Quran dan sebagainya. Tapi itu bukanlah sebagai lesen untuk awak tidak menyukai Matematik. Buangkan persepsi yang telah bersemayam di benak awak tu bahawa menguasai ilmu Matematik ini semata untuk duniawi. Dah berkali saya ingatkan, segala ilmu yang wujud di muka bumi ini adalah kepunyaan Al-Khaliq maka tiada istilah ilmu ini hanya untuk orang agama semata dan sebahagian yang lain untuk para professional. Memisahkan ilmu agama daripada kehidupan serta sebaliknya itu sekular namanya. Usah benarkan teologi kafir laknatullah menyerapi minda awak dengan lebih lama dan jauh Majid” Cikgu Rizana menarik nafas setelah usai berceramah mini kepadaku sebentar tadi.

“Saya minta maaf cikgu pasal kejadian semalam. Kaki saya sakit semalam cikgu jadi saya mengambil keputusan untuk tidak masuk ke kelas.” Perlahan aku mengalun ayat-ayat.

“Dan….?” Cikgu Rizana seakan tidak berpuas hati dengan permohonan maafku itu.

“Dan?” Tegak kepalaku memandang muka Cikgu Rizana. Mataku membulat dan dahiku berkerut. Apalagi dia nak ni, bisikku di dalam hati.

“Semalam Fauzan ada beritahu saya sebab lain awak ponteng kelas saya” Cikgu Rizana memberikan penjelasan selepas melihat reaksiku itu.

“Oh…err..saya” Belum sempat aku melunaskan kata-kata seraya Cikgu Rizana bersuara mencantas, “ Tak apalah. Sebagai denda saya hendak kamu siapkan latihan tambahan berserta latihan dua hari lepas yang saya beri dan siap tersedia atas meja saya seawal pagi esok. Boleh?”

“Baik cikgu” balasku lemah. Hai….Matematik lagi. Terasa bebanan tambahan seakan menghempap pundakku tatkala aku menerima arahan itu. Nampak gayanya kenalah aku mintak tolong pada Zaimlah malam ni masa kelas prep.

Aku mula mengatur langkah untuk meninggalkan bilik guru. Sementelah waktu rehat pun sudah hampir ke penghujungnya. Hari ini aku tidak menjamu selera seperti hari-hari biasa kerana sudah menjadi tabiatku untuk berpuasa sunat acap Isnin dan Khamis selagi tiada apa-apa halangan, dan kesempatan ini aku gunakan sepenuhnya untuk bertemu Cikgu Rizana.

“Satu lagi Majid…..” Suara itu membantutkan langkahku seraya membuatku menoleh kembali kea rah Cikgu Rizana.

“Kalau boleh buanglah tabiat merokok awak tu. Tentu tak manis rasanya kan andai suatu hari nanti kamu menjadi ahli ugama yang tersohor, tetapi dalam waktu yang sama seorang perokok yang tegar, saban waktu sentiasa ditemani kepulan asap. Saya nampak rokok ni tak ada kebaikan yang nyata. Kalau ada pun mungkin tidak dapat langsung mengatasi mudharat yang dibawanya. Tinggalkanlah ye selagi kamu masih peringkat cuba-mencuba ni Majid” manis sekali wajah Cikgu Rizana tatkala berkata-kata. Namun aku dapat menangkap seakan ada sedikit ketegasan yang disulami dengan harapan dan permohonan yang terselindung di sebalik kemanisan wajahnya itu.

“Insyaallah Cikgu. Saya akan cuba pertimbangkan kata-kata cikgu itu” aku membalas kembali ke arah cikguku itu.

***********************
Hari ini aku berasa sungguh gembira semasa kelas kegemeranku iaitu kelas Pendidikan A-Quran dan Sunnah. Markah ujian minggu lepas jelas tercatat di penjuru atas kanan kertas ujianku yang baru kuterima. 95. Ya, 5 markah kurang dari kesempurnaan. Memang telah kuduga markah ku ini. Begitu asyik aku menghafal kesemua 5 hadis serta perawi-perawinya sekali setelah Ustaz Faizal memberikan tips minggu lepas. Sedikit sebanyak terubat juga duka aku hari ini pabila sebentar tadi kertas ujian Matematikku tidak secemerlang kertas ini. 25 markah sahaja kertas Matematikku tadi. Habis aku kena leter dengan Cikgu Rizana lagi.

“Baiklah adik-adik sekalian, semua dah dapat kertas ujian masing-masing kan?. Harap kamu berpuas hati” Ustaz Faizal memang selesa membahasakan anak-anak muridnya sebagai adik sahaja. Sementelah jarak umur beliau yang tidak berapa jauh jaraknya dengan kami.

“Hari ini saya memang merancang untuk tidak mengajar” Serentak itu juga terbit semacam kekecewaan di hatiku. Apatah lagi subjek ini memang subjek favorite aku.

“Tapi saya hendak berkongsi sedikit ilmu dan pengetahuan yang saya ada tentang kehebatan kitabullah.” Sambung Ustaz Faizal sambil menghenyakkan punggung ke kerusi yang telah di letak di bahagian tengah hadapan kelas aku tu.

“Kamu tahu tak dalam Al-Quran itu sebenarnya terdapat bermacam-macam ilmu. Samada tersurat atau tersirat. Seandainya ilmu itu tersirat pastilah ia menuntut kita sebagai ciptaan-Nya yang tersempurna untuk mengekstraknya.” Mukaddimah itu seakan berjaya menarik perhatianku.

“Zaman sekarang ni orang kata zaman sains dan teknologi. Zaman di mana orang kata kalau takda ilmu berkaitan sains tu memang low class punyalah. Tanpa kita sedari sebenarnya kita terlalu mengagung-agungkan kejayaan para ilmuwan barat. Memang saya akui zaman ini hampir keseluruhan ciptaan-ciptaan, teknologi dan inovasi penting lahir daripada kalangan orang barat.”

“Betul tu Ustaz. Kalau tak kita tak merasa naik kapal terbang. Hahahaha” terdengar suara-suara nakal menyahut dari belakang kelas.

“Baiklah, siapa yang mula-mula sekali mencipta idea kapal terbang?” tuntas ustaz muda itu bertanya seisi kelas.

“Adik beradik Wright ustaz” Si Latifah menyahut

“Erm….jawapan kamu tu tak salah dan tak pula tepat” balasan Ustaz Faizal membuatkan para pelajar senyap, menanti jawapan yang mungkin saja baru bagi mereka, termasuk aku ini.

“Sebenarnya idea untuk terbang telah dipelopori oleh ilmuwan islam sejak dari zaman tahun 852 Hijrah di mana seorang penduduk Hijaz yang bermastautin di Cordoba, Sepanyol mula mencipta selimut berbentuk sayap. 23 tahun berikutnya muncul lagi seorang ilmuwan islam yang diberi nama Abu Al-Qasim Abbas bin Firnas bin Wirdas meneruskan usaha untuk menakluki angkasaraya. Diceritakan beliau melitupi badannya dengan buku yang dibuat seakan sayap dan dipasang di kedua lengan. Beliau lalu pergi ke tebing tinggi dan dengan beraninya melompat, melayang-layang di udara untuk seketika sebelum jatuh menghempas bumi. Beliau yang terkenal dengan gelaran Ibnu Firnas telah mengalami kecederaan belakang yang teruk yang seterusnya menghalang cubaan penerbangan seterusnya.” Ustaz Faizal berhenti seketika sambil meramas-ramas janggutnya yang sejemput, tergantung manis di dagunya itu.

“Tahukah kamu bahawa Ibnu Firnas ini sebenarnya adalah seorang ilmuwan yang versetail? Beliau adalah pakar dalam ilmu falsafah, matematik, kimia, astronomi, muzik, penyair dan juga sasterawan yang ulung. Banyak lagi penemuan-penemuan beliau yang menggegarkan dunia. Nah, lihat saja sapa kata seorang Muslim yang tawaduk dan mendalami ilmu Al-Quran tidak bisa menjadi inventor yang agung?” terpempan aku dengan kenyataan ustazku itu. Seakan mendapat petunjuk ke dalam diriku yang selama ini seakan terlalu menumpu kepada ilmu agama semata tanpa mengambil peduli ilmu yang kuanggap duniawi.

“Semua ilmu yang ada dalam dunia ini adalah milik-Nya, dan kebanyakannya telah dinyatakan di dalam Kitabullah itu sendiri, secara nyata atau memerlukan kita menaksirkannya. Tahukah kamu bahawa satu per lapan dari ayat-ayat Al-Qur’an menekankan tentang tadabbur, tafakkur, dan ta’aqqul. Ini menunjukkan bahawa Al-Qur’an menjunjung tinggi keagungan akal. Tatkala kita menolak akal dengan mudah kita akan menjadi korban obscurantism dan dogmatisme. Para ilmuwan islam dahulu telah menyedari hakikat dan kebenaran ini. Manusia adalah semulia-mulia ciptaan-Nya dan telah dikurniakan akal sebagai pembimbing. Kehebatan kuasa akal ini akan menghasilkan suatu kesenian, teknologi, teori-teori dan sebagainya. Tersedar oleh keadaan ini, maka lahirlah Khawarizmi dengan teori Al-Jabarnya, Ibnu Sina dengan Qanun Fil Tibb, Ibnu Rushd dengan Tahafut at-Tahafut, dan banyak lagi ilmuwan agung Muslim. Namun mereka tidak lupa juga mempersiapkan dan memperbanyakkan ilmu mengenal Allah, yang tentu sahaja banyak di dalam Al-Quran kerana kehebatan akal semata-mata tanpa bimbingan kerohanian akan menjadikan seseorang itu sesat. Memperuntukkan waktu malam mereka dengan mendekatkan diri kepada Ilahi, jika siang mereka seorang tokoh yang menjadi tumpuan dan rujukan orang ramai manakala malam menjelma mereka menjadi ‘abid yang merintih memohon petunjuk dan hidayah dari Tuhan-Nya.” Subhanallah, baru kini ku sedar. Kata-kata ustazku itu seakan memberikanku suatu anjakan paradigma, yang lantas mengubah persepsi yang utuh ku pegang beberapa tahun ini.

“Saya harap anda semua yang semestinya muslim tidak terlalu taksub dengan sesuatu ilmu tanpa mempedulikan ilmu-ilmu yang lain. Mungkin kata-kata ini dapat kamu halusi, kata-kata yang terbit daripada seorang insan yang bernama Bertrand Russel tentang ilmu Matematik, ‘Suatu keindahan, bagai ukiran, tanpa memohon belas kasih bantuan alam, tanpa keindahan muzik yang menjerat dan memikat, keindahannya murni dan agung, mampu menuju kesempurnaan, sungguh merupakan seni teragung yang pernah dimiliki oleh seni itu sendiri’. Nah kalau seorang yang bukan muslim boleh sahaja memperakui kehebatan dan keindahan ilmu matematik kenapa kita seorang muslim seakan tidak mengambil endah?” serasa bagai ada sembilu tajam menusuk kalbuku tatkala habis sahaja pertuturan itu. Seakan memang ditujukan khusus untuk aku. Mungkin Cikgu Rizana ada bercerita tentang kisahku kepada Ustaz Faizal, maklumlah rumah kuarters mereka hanyalah sebelah-menyebelah.

Loceng berdering, menandakan tamat waktu matapelajaran. Ustaz Faizal bingkas bangun dan selepas selesai murid-murid memberi salam hormat, beliau pun terus berlalu. Aku duduk melayan sukma, bahana terjahan-terjahan informasi daripada ustazku itu. Suasana kelas bertambah hingar tatkala ketua kelas memberitahu yang Cikgu Shaari, guru matapelajaran Bahasa Melayu untuk kelas seterusnya tidak hadir kerana ada kecemasan berlaku di kampungnya. Aku masih berfikir. Benar juga apa yang ustaz aku cakap tadi tu. Kenapa selama ini aku tak tergerak langsung untuk menulusuri kisah-kisah ilmuwan Islam dengan lebih lanjut dan memandang mereka dari sisi yang lain. Apa yang aku tumpukan selama ini adalah berdasarkan isi-isi kitab karangan mereka.

Aku menghela nafas, yang cukup panjang. Aku mengemas barang-barangku di atas meja sambil berkira-kira untuk pulang sahaja ke asrama sementelah kelas Bahasa Melayu ini letaknya di hujung waktu persekolahan pun. Tiba-tiba mataku terpaku ke arah kertas ujian Matematikku, membantutkan seketika sesi berkemasku. Aku mengambil kertasku dan membelek-belek, seakan mencari sesuatu, mencari permata yang hilang mungkin, atau apa-apa sahaja.

Setelah beberapa ketika, aku membulat untuk bertindak. Meninggalkan segala apa yang sedang kuusahakan dan mengayun langkah yang agak deras menuju ke bilik guru.

“Assalamualaikum Cikgu Rizana, cikgu lapang sekarang?” perlahan suaraku mendatar mengucapkan kalimah itu.

***********************

“Saya amat bersetuju dengan penerangan yang diberikannya. Segala hujah disokong dengan fakta-fakta dan rujukan yang kemas. Baiklah ahli lembaga semua, saya dengan ini meluluskan draf Strategi dan Hala Tuju Kewangan yang diusulkan minggu lalu” ruang mesyuarat sedikit hingar sebelum diiringi gemaan tepukan tangan.

“Tahniah Majid. Ternyata Tan Sri begitu berpuas hati dengan persembahan dan prestasi kamu. Ini saya sampaikan jemputan peribadi daripada beliau untuk anda bersama-sama makan tengah hari di rumahnya hujung minggu ini” jabatan dari ketuaku ku sambut dengan mesra. Terasa seakan telah terbebas sedikit bebanan yang menghimpun di jemalaku semenjak minggu lepas. Alhamdulillah, aku berjaya menyiapkan tugasan yang diamanahkan dengan jayanya.

“Hebat pembentangan kamu tadi Majid. Kamulah pakar runding terbaik yang pernah saya jumpa setakat ini” kata Dato’ Faiz pula tatkala aku berjabat tangan dengannya sewaktu mengemas material-materialku. Beberapa konglomerat dan ahli korporat di sekeliling sekata mengangguk-angguk, seakan mengiyakan kenyataan sebentar tadi.

“Takdelah Dato’, saya ni orang baru lagi. Masih banyak lagi yang saya perlu pelajari dan perbaiki” balasku pula.

“Ha ha ha…bagus..saya suka orang yang merendah diri” kami beriringan melangkah keluar.

Alhamdulillah. Aku kini sudah berupaya memiliki syarikat perunding sendiri. Syarikat pakar dalam memberi konsultansi berkaitan kaedah-kaedah perniagaan dan ekonomi dalam Islam.

Kadangkala aku terfikir, semua ini takkan aku capai seandainya aku tidak tersedar dari lamunanku dahulu. Masih segar lagi di ingatanku, tatkala selesai sahaja sesi kelas Ustaz Faizal aku segera bertemu dengan Cikgu Rizana. Aku meluangkan masa agak lama petang itu untuk berbincang dan meluahkan segalanya, hati ke hati dengan cikgu matematikku itu dahulu. Sejak haritu aku bertekad untuk memperbaiki kelemahanku dan lantas menanam azam untuk menguasai ilmu yang selama ini aku pandang remeh dan enteng.

Berkat kerja keras dan juga keredhaan cikguku, aku berjaya mendapat keputusan yang sangat cemerlang dalam SPMku dan secara langsung melayakkan aku melanjutkan pelajaran ke luar negara. Aku mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, destinasi idamanku sedari aku mengenal apa itu universiti. Aku mendalami ilmu fiqh islami dan juga mengambil keputusan untuk mendalami ilmu ekonomi juga. Teman-teman seperjuanganku seakan tidak yakin aku mampu menamatkan pengajianku kerana membawa dua cabang ilmu yang agak berat dalam suatu masa. Namun aku yakin, ditambah dengan usaha, tawakal dan juga iringan doa’ daripada insan-insan yang menyayangiku, aku berjaya mendapat keputusan yang sangat cemerlang.

Sekembalinya ke tanahair, aku cuba menjejaki kembali Cikgu Rizana. Namun aku gagal mendapatkan alamatnya denga tepat, cuma aku mendengar yang beliau telah berpindah mengikut suaminya ke Tanah Di Bawah Bayu.

Apapun aku tetap berazam hendak menemuinya juga suatu hari nanti sebelum aku menutup mata. Terima kasih cikgu kerana ketabahan cikgu dalam mendidik anak muridmu ini tanpa rasa jemu. Aku kini menjadi seorang insan yang berjaya mendapat manfaat daripada dua cabang ilmu. Walaupun kusedar diri ini tidak standing dengan sumbangan para ilmuwan Islam silam namun aku akan berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan dakwah islam. Itulah azamku sebagai seorang Protaz….Insya-Allah.

Khamis, 4 Jun 2009

SATU

Karya: Ziaf Fansuri

“ARRGGHHHH…TOLONGGG!!!”. Jeritan itu benar-benar membuatkan aku tidak tentu arah. Mukaku pucat, peluh dingin meluncur laju membasahi dahiku yang agak luas itu, langkahku terpaku.

“Gatal!!!..Miang!!!..Jantan hidung belang!!!”, tuduhan-tuduhan begitu jelas dapat ditangkap oleh telingaku. Debuk!!!. Satu hentakan kuat dapat kurasakan tepat di bawah daguku seraya membuatkanku terduduk. Mataku agak berpinar dan aku seakan merasakan dunia ini berputar. Seketika aku bagai terputus hubungan dengan alam sekitar.

“Kenapa ni cik? Ada apa-apa masalah ke?” satu suara yang agak garau berjaya membuatkanku sadar kembali.

“Ni hah pakcik. Jantan miang ni saya jumpa dalam tandas wanita tadi. Dasar lelaki miang, siang hari pun tak tahu malu!!! Hee..geramnya aku!!!” bagaikan halilintar menyambar, suara itu menerjah ke koklea ku.

“Err…minta maaf cik. Saya tak berniat pun walau seberat zarah untuk berbuat apa-apa pada diri cik. Saya Cuma berniat nak qadha hajat sahaja, tapi tak pula saya sangka yang ni tandas wanita” aku bersuara pula seraya mengambil semula fail-failku yang bertaburan di atas lantai.

“Huh!!..Penipu!!” cebik gadis itu sambil menjuihkan mulutnya. Dapat jua ku lihat sorotan matanya yang seakan-akan tidak mempercayai pernyataan ku tadi.

“Betui ka encik? Saya bukanlah tak nak percaya tapi…..” pak guard yang dari tadi kulihat menumpukan perhatian kepada gadis di depanku tiba-tiba berkata kepadaku.

“Betul pakcik. Demi Allah apa yang saya katakan tadi adalah benar dan sebenar-benarnya. Lagipun buat apa saya sengaja nak ‘membunuh diri’ dengan melakukan perbuatan yang dikatakan gadis ni sebentar tadi.

“Betui juga noo. Awat hang nak dok sekodeng orang tengah-tengah hari buta ni. Lagipun ni tempat public. Takpa-takpa. Pakcik ingat ni kes salah faham ja ni. Hangpa dok settle baik-baik noo. Pakcik balik tempat pakcik dulu ya nak.” Seusai bertutur pakcik tersebut melangkah meninggalkan kami berdua.

Gadis tersebut terus meninggalkan aku yang baru sahaja hendak mengulangi permohonan maaf. Aduh, tak dapat aku bayangkan betapa malunya aku sekarang ni. Sudahlah hari ni hari pertama pendaftaran di universiti, ramai pula tu freshie-freshie macam aku ni yang ada berhampiran dengan tempat kejadian. Mana aku nak letak muka aku ni nanti. Arghh…tak guna kau Zarul, kau kenakan aku hari ni ye. Takpe, ada ubi ada batas, tunggu kau Zarul. Aku mula mengatur langkah kembali ke tempat duduk aku. Terbantut niat aku nak melepaskan hajatku yang ku pendam sekian lama. Hai….nasib kaulah Rafik.

*********************


Pagi ini adalah kelas pertamaku di Universiti Kebangsaan Malaysia ni. Malangnya aku bangun agak lewat pagi ni. Tergocoh-gocoh aku bersiap. Kelasku berada di Fakulti Kejuruteraan manakala aku ditempatkan di Kolej Kediaman Ungku Hussein. Jarak antara keduanya bolehlah dikatakan jauh. Kolej aku berada di atas bukit, berhampiran dengan pintu gerbang utama di UKM ini manakala fakultiku tersergam indah di tepi tasik, berhampiran pintu masuk kedua UKM, nun di hujung sana.

Aku bernasib baik Zarul dengan bermurah hati meminjamkan motosikalnya. Kebiasaanya budak-budak junior macam aku ni kata Zarul selalu naik bas shuttle yang disediakan oleh pihak universiti. Bas cap Kiffah, begitulah kata Zarul semasa kami bersembang malam tadi. Zarul sekarang sedang menyiapkan tesis tahun akhirmya dan jadual waktu kelasnya tidaklah sepadat jadual pelajar tahun satu macam aku ni. Walaupun perangai Zarul ni tak berapa semenggah, tapi aku tahu beliau ni seorang yang budiman dan baik hati. Kah kah kah, mana tak nya, dah 8 tahun aku kenal mamat nama Zarul ni. Jiran sekampunglah katakan.

Selesai meletak dan mengunci motor, aku berlari sederas yang mungkin menuju ke dewan kuliah. Jarum minit jam tanganku sudah 5 minit melewati angka 12. Aku hanya mampu berdoa agar pensyarah subjek Statik ini belum tiba di dewan lagi. Seboleh-bolehnya aku tak mahu memberikan pandangan yang buruk di awal pertemuan dengan para pensyarah. Maklumlah, kita ni nak mendapatkan ilmu daripada mereka, kalau dah hati mereka tak berapa berkenan pada sikap dan personaliti kita, sedikit sebanyak barakah ilmu yang dicurahkan nanti akan ada kekurangannya. Ustaz aku dulu pernah berkata, jagalah hati gurumu dengan sebaik mungkin kerana barakah ilmu itu terletak di atas keikhlasan dan keredhaan gurumu. Dah kalau guru benci dan meluat tengok kita macamana dia nak redha dengan kita. Nauzubillah min zalik, minta dijauhkan.

Aku menolak daun pintu. Perasaan lega seraya menerpa ke hatiku, memberikan suatu seakan ketenangan. Pensyarah masih belum nampak kelibatnya. Aku menuruni anak tangga menuju ke bawah. Memang tabiatku untuk duduk di hadapan dalam majlis ilmu. Kenapa? Supaya aku akan dapat menumpukan sepenuh perhatian. Pernah sekali aku terlewat masuk ke kuliah sewaktu di matrikulasi dahulu, akibatnya aku terpaksa duduk di barisan yang agak terbelakang. Tempat kebiasaanku telahpun berpenghuni. Sepanjang 3 jam kuliah tersebut aku tidak dapat memahami waimah sepatah rumus yang disampaikan oleh pensyarahku. Aku mengambil iktibar daripada peristiwa itu dan sentiasa memastikan aku duduk di hadapan selepas itu.

Aku melabuhkan punggung di sebelah gadis Tionghua iras-iras aktress dari Hong Kong, Mei Lin namanya, satu kumpulan denganku semasa program orientasi tempoh hari. Aku duduk di bahagian tepi sekali dalam barisan, di sebelah kananku sedikit ruang seperti lorong untuk memudahkan perjalanan pelajar-pelajar. Selang beberapa kaki terdapat satu lagi barisan yang boleh diduduki untuk mendengar kuliah. Aku tidak berapa endah dengan penghuni di sebelah kananku, seorang gadis melayu pada perkiraanku, bertudung dengan gaya entah apa-apa entah, berbaju belang-belang dan berjeans ketat, itulah yang sempat tertancap dalam mindaku semasa melilau melihat sekeling mencari tempat duduk sebentar tadi. Aku mengeluarkan buku catatan, untuk kugunakan mencatat isi kuliah sebentar nanti. Menyusun beberapa alatulis. Ah, baru kusedar telefonku masih belum ku letak pada mode silent. Suasana yang agak bising sekarang ni mungkin tak akan berapa terganggu seandainya telefonku berdering tetapi bayangkan seandainya semasa proses pembelajaran dan pengajaran sedang dijalankan dan telefonku berdering memecahkan kesunyian suasana itu nanti, tentu ramai yang akan menyumpah seranah walaupun hanya di dalam hati. Aku pun menyeluk saku sisi jeansku.

“HOI!!!! KAU BUAT APA DI SINI???” aku terkesima buat kesekian kalinya, suasana serta merta menjadi sepi, bagaikan sebuah perkampungan, yang baru sahaja dilanggar geruda dan aku dapat merasakan seperti hanya aku sahaja subjek yang berada di dalam dewan itu kerana semua mata memang memandang ke arahku. Ternyata, jeritan itu sekali lagi menghantuiku. Ya Allah, mengapa kau dugaku lagi di hari pertamaku?. Gadis berbaju belang itu berang lagi.

********************


“Ni ape kehainya ni dok monyok macam cicak tertelan kapuq barus ni?” usikan Musleh jelas dapat kudengar. Aku kembali menghirup bancuhan Nescafe 3 dalam 1 yang baru aku beli petang tadi dari Pusanika yang berhampiran. Memang telah menjadi tabiatku, apabila menelaah pasti ditemani secawan kopi. Tanpa kopi, kurasakan segalanya tak menjadi. Tiada satu pun rumus dapat ku ingati.

“Aku hairan betullah. Dah 3 tahun peristiwa tu berlalu, tapi kenapa si Raedah tu macam benci sangat kat aku? Dah banyak kali juga aku cuba untuk berbaik-baik, menjalinkan silaturahim tapi dia tetap dengan api kemarahan dan kebencian terhadap aku.” Aku meluahkan apa yang bermain di benakku kepada Musleh.

“Laaaa….sebab dia ka hang dok lagu ni. Ala…toksahlah hang dok pening pala hang pikiaqkan dia tu. Dah perangai dia macam tu nak buat macamana. Lagipun bukan ada pekdah apa pun kat hang. Budak pempuan lain pun ade habaq kat aku, si Raedah ni ada sikit dia punya ‘act’. Maklumlah anak Dato’, lawa macam Nicole Kidman pula tu…” balas Musleh sambil menghembuskan asap rokok cap Winston Light itu.

“Aku bukannya apa, aku kalau boleh tak naklah ada dendam-dendam sesame kita. Maklumlah, kita ni menuntut ilmu, tempat yang sama pula tu. Jadi kalau ada dendam-dendam ni aku tak rasa berapa seronoklah.”

“Alaa..lantak pi lah dengan minah tu.. Apa kata hang ajaq aku camana nak rujuk rajah Reynold ni. Aku dok pening dari semalam lepas kelas Mr. Tee. La ni nak siapkan tutoq aku pun tak dapat” kata Musleh sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Ha ha ha..betul juga cakap kau tu. Mari sini Dewa fluid nak tunjuk kuasa” gurauku kepada Musleh sambil diiringi gelak tawa kami bedua.

**********************************

“Majid, kerja kursus ni berapa markah?” aku bertanya kawanku yang duduk di sebelahku.

“Kalau tak silap aku banyak markah dia ni. 70% kalau aku tak silap. Kertas periksa akhir si Hambali ni set 30% je” balas Majid

“Alamak…bahaya ni. Kalau skor final paper pun tak lulus lagi. Oh Hambali, kenapakah…” aku membalas sambil membuat aksi-aksi yang menyebabkan Majid dan yang lain tergelak. Subjek Analisis Rekabentuk ni memang subjek killer untuk pelajar tahun akhir kejuruteraan di UKM ni. Di tambah pula dengan ketegasan pensyarahnya Encik Hambali, membuatkan pelajar-pelajar ini tak tidur malam memikirkannya. Mengikut pengalaman senior terdahulu, amat susah untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek ni kerana pemarkahan Encik Hambali ini begitu ketat.

Diam tak diam aku sudah pun berada dalam semester terakhir pengajianku. Namun hubunganku dengan Raedah sama seperti 4 tahun yang lepas. Aku pun sudah tidak berapa endahkan lagi. Tumpuanku kini hanya untuk menyiapkan ijazah ku dengan cemerlang dan tepat pada masanya.

Selesai kuliah Encik Hambali hari tu, aku dan beberapa kawanku bercadang hendak singgah makan di Kafe Pusanika. Sementelah lokasinya yang sehala dengan jalan pulang ke kolej kami. Tambaham aku pun hendak mengeluarkan sedikit wang daripada Mesin ATM di Bank CIMB yang ada di Pusanika tu. Hari ini kami berempat pergi ke kuliah dengan kereta si Azmil. Hujan yang sedari pagi turun membasahi laman ilmu ini masih terasa rintiknya. Seusai meletak kereta, Azmil, Majid dan Musleh terus menuju ke kafe manakala aku mengambil keputusan untuk ke bank dahulu.

Setibanya di bank, suasana tidaklah sesibuk mana. Terdapat beberapa orang siswi sedang beratur menunggu giliran di mesin ATM. Suasana di dalam pun aku lihat agak tenang. Hanya sebuah kaunter di buka untuk para pelanggan berurusan. Di ruang menunggu pula, aku dapat lihat seorang pensyarah barangkali, bersongkok tinggi, berkemeja cerah dan berseluar khakis sedang menyemak-nyemak helaian kertas di tangannya. Ah, barangkali beliau mahu claim apa-apa cek atau elaun yang baru diterimanya. Di hujung sana jelas dapat kulihat sepasang merpati dua sejoli, berbaju sedondon, yang pria memakai t-shirt berwarna merah jambu berseluar jeans manakala si jelita pula mengenakan tudung ala-ala penyanyi Yuna yang sedang hangat namanya, berbaju t-shirt lengan panjang juga sedondon warnanya dengan si pria. Fikiran-fikiran nakal seakan menerjah ke serebrum ku setelah Diensefalon thalamus memproses data yang ku dapat daripada pemerhatianku terhadap pemakaian si pria merpati sejoli itu tadi. Seorang lelaki yang berkulit agak gelap mengenakan busana berwarna sedemikian. Tidakkah dia terasa kejanggalannya apatah lagi dia bisa sahaja menjadi subjek tumpuan tatkala di khalayak. Apakah kerana sayang, ataupun kemungkinan adanya sikap Queen control daripada si dara, tiada kesimpulan yang dapat ku temui tatkala di ruang waktu yang sekelumit cuma ini. Tersenyum sendirian aku di buatnya.

Kad ATM yang menjadi teman setiaku sejak dari tahun satu ku sua pada slotnya. Seketika, kad tersebut di sedut ke dalam mesin. Beberapa saat berlalu tatkala aturcara program mesin sedang mengenal pasti data-data yang tertanam di dalam cip kad. Setelah melalui beberapa proses akhirnya mesin ATM itu memuntahkan wang yang ku idamkan. Alhamdulillah. Syukur kepada tuhan.

Sewaktu aku hendak melintasi pintu utama, tanpa ku sedar bahuku berlaga dengan seseorang. Serentak aku menoleh kea rah insan yang ku langgar sebentar tadi sambil bibirku terbuka tanda bersedia melontarkan permohonan maaf

“Err…maafkan saya saudari..saya tak…”
“Buta ke? Lain kali jalan pandang depan bukan pandang wallet!!”
“Eh Raedah rupanya, maafkan Fik, Fik memang tak sengaja tadi” tanpa kuduga Raedah rupanya di hadapanku
“Ah sudahlah, pergilah kau. Malas aku nak layan kau lagi”seperti biasa layanan yang kuterima kasar seperti hari-hari lalu. Raedah terus menuju ke ATM dan meninggalkan ku termangu-mangu di depan pintu. Entah kenapa hari ini kejantanan aku seakan tercabar. Kemarahanku tiba-tiba menerjah ke mindaku mengatasi rasional pemikiranku. Seakan ada Ablasa yang sedang merasuk-rasuk, meniupkan lagi perasaan amarah ke dalam hatiku. Aku segera menyusun langkah menuju ke arah Raedah dan…..

“Hei Raedah!!! Kenapa kau benci sangat dengan aku ha? Kenapa??!! Dah berkali-kali aku cuba berbuat baik terhadap kau namun kau tak pernah walau sekali kau bersikap begitu terhadapku. Kalau setakat kesalahan yang aku lakukan beberapa tahun lalu menyebabkan kau bersikap begini sampai kini, aku tak tahulah insan jenis apa kau ni. Begitu lama berdendam ke atas kesalahan yang ku kira tidak seberapa tu!!. Dah berkali aku terangkan keadaan aku pada masa tu kan??!! Ah sudahlah kau Raedah!!! Kau ni memang jenis manusia yang…yang…” aku mengetap bibirku untuk menahan agar tidak terlepas perkataan yang hendak ku ucapkan tu

“Sudahlah Raedah!!! Sedangkan Nabi pun ampunkan Umatnya!!!!” satu sorotan tajam diikuti aksi menuding telunjuk tepat ke mukanya mengakhiri amukan aku petang itu. Aku lantas berpusing menapak meninggalkan Raedah di situ. Sempat aku lihat air mukanya sebalum aku berpaling tadi yang seakan sangat terkejut, tidak menduga kelancangan aku barangkali. Pantas aku menuju ke hentian bas yang berdekatan dan kupadamkan sahaja niatku untuk mengisi perut. Didih hatiku kian reda, diganti pula dengan penyesalan. Pasti saja Raedah sangat malu tadi. Walaupun khalayak tidak ramai namun pastinya si polan-si polan yang lalu-lalang di situ sebentar tadi dapat menyaksikan adegan spontanku tadi. Ya Allah….



**********************************


“Apa kes bro? Bukan main kuat lagi suara kau petang tadi. Kitorang yang duduk kat hujung kafe tu pun dapat dengar suara kau dengan jelas” tegur Azmil sesudah mereka tiba di bilikku.
“Entahlah. Aku pun tak tau kenapa aku boleh jadi macam tu tadi. Bila fakir-fikir balik macam tak patut pula tindakan aku tadi tu.”
“Ala…oklah tu. Biar padan muka sikit dengan si Raedah tu. Apa dia ingat orang lain ni tak ada standard ke. Huh!!” sampuk Musleh yang seakan menyokong tindakanku tadi.
“Ah sudahlah. Malas aku nak fikir. Esok lusa aku pergi minta maaf dengan si anak Dato’ sorang tu” aku berlagak ceria kembali di hadapan kawan-kawanku walaupun badai yang melanda lubuk hatiku hanyalah Al-Khaliq yang mengetahui-Nya.

“Weh, baik korang siapkan kerja si Hambali tu. Esok last hantar. Kau nak mampus ke hantar lewat-lewat. Silap - silap kang kau kene extend satu sem repeat dia punya subjek saja. Tak ke haru di buatnya tu” seakan pelajar yang mendapat Anugerah Diraja si Musleh petah berkata-kata seraya mengundang tawa lagi di kalangan kami. Walaupun begitu, kami semua setuju dengan kata-katanya dan bergegas menyiapkan projek masing-masing.

**********************************

“Zinnia, projek ni you yang collect ke?” Tanya aku kepada salah seorang rakanku di kelas pagi itu. Rakanku ini memang selalu diamanahkan untuk memungut apa saja tugasan oleh pensyarah kepada pelajar kelas kami semenjak dari tahun satu lagi.

“Owh. This project Mr. Hambali has assigned Raedah to collect it. As a punishment for not coming to his class last week without a strong reason.”Zinnia ni memang suka sangat cakap Inggeris. Maklumlah, dari kecil mengikut ayahnya bertugas di United Kingdom. Ayahnya merupaka salah seorang pegawai bertugas di Kedutaan Malaysia di sana.

“Alrite then. I’ll passed to her later. Thanks Zinn”balasku sambil menuju ke meja Raedah.

“Cik Raedah Dato’ Fauzan, ni saya hantar projek saya ye. Terima kasih daun keladi ye. Saya harap awak jaga projek saya tu elok-elok. Maklumlah, projek ni ibarat tangkai nyawa saya” niatku hanya ingin menerbitkan suasana ceria antara aku dan dia sementelah kejadian semalam masih menghantuiku. Namun reaksi Raedah ternyata lebih teruk kali ini. Tiada sepatah perkataan terbit daripada bibirnya yang mungil dan kemerah-merahan laksana jambu air itu. Dia hanya menyorot dengan mata yang penuh dendam pada perkiraanku sambil menyentap buku projekku dengan kasar daripada huluranku.

“Errr..Raedah. Saya minta maaf banyak-banyak atas peristiwa semalam tu ye” hanya itu yang mampu kututurkan sebelum meninggalkannya.

**********************************


Semusim sudah usia pengajianku kini. Namun lara hatiku ini seakan tidak akan sembuh. Gambar yang di upload oleh Musleh di laman Friendster nya menambahkan lagi sayu hatiku. Sepatutnya aku kini sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan teman-teman seperjuanganku. Tetapi apakan daya, kita hanya mampu merancang tuhan jua yang memutuskan. Tidak ku sangka, gurauan Musleh dahulu menjadi kenyataan buatku, bezanya hasil kedudukanku kini wahana daripada sekelumit dendam seorang insan. Tidak ku duga beliau sanggup mensabotaj aku sebegini rupa. Puas sudah aku menerangkan kedudukanku pada Encik Hambali ketika itu, di tambah pula dengan sokongan beberapa rakanku. Namun si dia lebih hebat lagi lakonannya, segah primadona filem layaknya. Tidak ku sangka si dia sanggup memusnahkan hasil kerjaku yang diamanahkan kepadanya untuk diserahkan kepada pensyarahku. Akibatnya, aku tiada pilihan lain, terpaksa mengulang subjek tersebut. Pabila kutanya pada si dia kenapa dia bertindak begitu, “ What you give you get back. Don’t you ever dare to play with me!!..Huh”

Ya tuhan. Tidak ku sangka perasaan hasad dan dengki bisa menjadikan seseorang itu tidak berfikiran dengan waras. Bara dendam yang sekian lama menyekam akhirnya membara dan marak menyala. Aku tidak lagi menaruh kesumat terhadap si dia. Aku sekadar menganggap ini sebagai kifarah terhadap dosa-dosaku yang lalu. Nasihat dan sokongan teman-teman sememangya penawar terbaik. Kepadanya, kupohon agar Rabbul ‘Izzati membuka hatinya dan menunjukkan jalan kepada kebaikan, agar dia bertemu kelembutan dan kesantunan diiringi ketakwaan di hujung pencarian.

Satu musim telah berlalu. Satu hati telah teruji. Satu janji akan ditepati. Satu harapan dan doa hanya kepada-Nya, yang Satu……………